1. Berlumba-lumba berbuat kebaikan
Melalui kebaikan kita akan memperolehi manfaatnya, seperti manfaat kemenangan, dimana setiap kebaikan yang dilakukan pasti akan mendapat kemenangan.
Memperolehi balasan daripada Allah S.W.T, dimana Allah telah menjanjikan balasan bagi setiap kebaikan yang dilakukan.
Memperolehi kebahagiaan, melalui kebaikan kita pasti akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
2. Beristiqamah
Jika di dalam jiwa kita telah tertanam dengan istiqamah maka kita telah mencapai satu tahap yang mana akal dan hati kita telah diselamatkan oleh pengaruh jiwa dari kejatuhan moral.
Hati kita, jiwa kita telah teguh kepadaNya, kita tidak mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai rayuan dunia.
Manakala jika istiqamah telah tertanam dalam masyarakat maka lahirlah satu kelompok manusia yang aman damai, bekerjasama dan sanggup berjuang menegakkan kebenaran.
3. Berbuat ihsan
Ihsan bererti kebaikan, berbuat baik kepada Allah S.W.T terhadap sesama manusia serta mahkluk lain. Ihsan menyangkut tingkah laku, akhlak dan budi pekerti setiap muslim. Islam menyeru kepada penganutnya agar berbuat ihsan atau berbuat kebaikan kepada Allah S.W.T, kepada manusia terutama yang memerlukan pertolongan. Allah S.W.T menyintai orang-orang yang berbuat ihsan kepada orang lain dan melindungi mereka dengan rahmatNya.
Ihsan kepada Allah S.W.T iaitu ikhlas segala amal ibadat, jauh dari sifat syirik dan riya’, mentaati segala hukum-hukumNya serta menjauhi segala laranganNya.
Ihsan kepada orang tua iaitu berbakti kepada keduanya dengan mentaati perintahnya dan menjauhi larangannya kecuali bertentangan dengan ajaran Allah S.W.T atau membawa kepada kemaksiatan.
Ihsan sesama manusia iaitu berbuat baik ramah tamah, melakukan sesuatu yang memberi manfaat atau kemudahan kepada orang lain. Saling memberikan pertolongan agar beban yang dihadapi oleh orang lain menjadi ringan.
4. Menunaikan amanah
Bersikap amanah atau jujur merupakan sifat yang diperlukan orang dalam kehidupan ini dalam rangka mencapai tujuan yang dicita-citakan. Demikian juga dalam kehidupan bermasyarakat jika telah hilang sifat jujur atau amanah ini maka rosaklah kehidupan masyarakat tersebut. Kerana antara mereka tidak saling mempercayai bahkan saling mencurigai antara sesame mereka. Maka timbullah perselisihan dan pertengkaran yang merosakkan hubungan silaturrahim.
Agama Islam berseru kepada penganutnya agar selalu bersikap amanah dalam segala aktiviti kehidupan. Kerana amanah merupakan unsur yang paling penting dalam menentukan keberhasilan seseorang daripada setiap amal usahanya. Allah S.W.T menjadikan amanah salah satu sifat daripada hamba-hambaNya yang soleh yang menjadi kekasihNya.
5. Menghindari maksiat hati
Untuk mengubati hati bukanlah perkara yang mudah, kerana manusia ramai yang lalai dalam menilai diri sendiri dan suka bermewah-mewah dalam kehidupan duniawi. Setidak-tidaknya ada tiga sebab utama hati menjadi sakit. Pertama hasad atau dengki, kedua riya’ dan ketiga ujub atau memuji diri sendiri.
Orang yang mempunyai sifat dengki, mereka tidak akan senang kalau orang lain mendapat nikmat Allah S.W.T. Kemudian ia mengharapkan nikmat itu berpindah kepadanya. Sifat tersebut merupakan seburuk-buruk akhlak. Sifat dengki ini merosakkan silaturrahim sesama ihsan. Manusia tidak akan sampai kepada hakikat iman, sebelum menyintai sesama muslim seperti menyintai dirinya sendiri.
Sifat riya’ iaitu segala perkara yang dilakukan mengharapkan pujian dan sanjungan. Sifat riya’ merupakan syirik yang rahsia. Mereka yang mempunyai sifat ini menganggap dirinya telah berhasil, dan melebihi dari orang lain, padahal apa yang diperolehnya hanyalah sidikit jika dibandingkan nikmat Allah yang luas.
Begitu juga sifat ujub atau memuji diri sendiri, merupakan sifat yang merosak peribadi seseorang, sifat ujub ini sama dengan sifat yang dimiliki oleh iblis ketika Allah S.W.T menyuruhnya sujud kepada Adam namun ia tetap engkar dan mengatakan bahawa dirinya lebih baik dari Adam.
No comments:
Post a Comment