
Tuesday, 14 February 2012
Saturday, 4 February 2012
Bosko Balaban Menjadi Pilihan Irfan
“Memang saya rancang nak turunkan dia (Balaban) pada 15 minit terakhir babak pertama dan 15 minit awal babak kedua kerana dia masih ‘jetlag’. Tapi R Surendren tercedera dan saya masukkan dia seawal minit ke-13.
“Lagipun ketika itu, hujan lebat dan dia mungkin takut tercedera kerana Selangor belum menandatanganinya. Apapun berdasarkan reputasinya, saya yakin dia pilihan tepat kami,” kata Irfan ketika dihubungi, semalam.
Skuad Selangor yang tidak berlatih semalam, bakal kembali menyambung sesi latihan petang ini dan ia menjadi latihan rasmi pertama Balaban sebagai pemain Selangor.
“Jika ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) dapat cepat, dia boleh diturunkan untuk bertemu Lions XII. Tapi seorang lagi import, Ramez Dayoub tidak dapat beraksi kerana digantung satu perlawanan,” jelas Irfan.
Balaban yang pernah mewakili Dinamo Zagreb, Aston Villa, Brugge dan terakhir, Panionios diambil bagi menggantikan penyerang kebangsaan Congo, Lelo Mbele yang ditamatkan kontrak kerana gagal pulih daripada kecederaan panjang.
Sumber : Berita Harian
Friday, 20 January 2012
Mbele Dijangka Pulang Awal
Irfan mendedahkan, Mbele sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan paha kiri namun kecederaan lama yang dialami pemain itu banyak mengganggu persembahannya sehingga tidak mampu lagi beraksi sebaik mungkin.
“Bukan masalah kecergasan yang menjadi isu. Masalahnya dia tidak lagi mampu memberi persembahan seperti mana yang diharapkan.
“Saya fikir amat sukar untuk dia beraksi seperti mana yang kita mahukan. Dijangka pihak pengurusan akan menamatkan kontraknya walaupun buat masa ini kami belum lagi menghantar dia pulang.
“Dalam masa sama, pihak pengurusan juga sedang mengintai untuk mendapatkan pemain import baru. Kalau boleh kami mahu seorang penyerang yang mampu menjadi penjaring gol, ” katanya.
Mbele mendapat perhatian para peminat kerana diambil mewakili Selangor hanya berdasarkan aksinya dalam rakaman video tanpa melalui ujian pemilihan biarpun masih dalam kecederaan.
Dia pernah mewakili kelab Arab Saudi, Al-Hilal dan kelab Afrika Selatan, Orlando Pirates sebelum mendapat kecederaan serius ketika Al-Nasr Benganzi musim lalu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melonggarkan syarat pendaftaran pemain import, di mana pasukan boleh mengambil pemain baru sehingga 13 Februari depan.
Selain itu, Irfan dalam masa sama mengakui kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Felda United kelmarin.
Dia menyifatkan barisan serangan yang tumpul, meranapkan peluang mereka bergelar pemenang dalam aksi pada sebelah petang di Stadium Hang Jebat, Melaka.
“Pemain perlu mengambil iktibar atas kekalahan ini. Jika para pemain mampu menyempurnakan peluang-peluang gol yang terhidang pada separuh masa pertama, kami boleh menang.
“Sedangkan pihak lawan hanya meraih satu peluang gol dan berjaya memanfaatkannya sehingga ia menjadi gol kemenangan mereka.
“Walaupun kalah, saya tidak begitu bimbang kerana saingan liga masih panjang. Cuma saya harap pemain dapat,” katanya ketika dihubungi, semalam
Sumber : Malaysialeague
Thursday, 19 January 2012
Warna Warni Liga Malaysia
Felda United meleburkan keegoan Selangor dalam aksi ketiga Liga Super semalam apabila berjaya melakarkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Hang Jebat sekali gus meranapkan rekod tanpa kalah Red Giants.
Azrul Ahmad muncul wira skuad ‘Sang Peneroka’ itu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-32 selepas menerima hantaran daripada bekas pemain Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong.
Kejayaan meraih tiga mata ke atas gergasi Lembah Klang itu yang dianggap antara sebagai pasukan pilihan menjuarai Liga Super musim ini ternyata menggembirakan pengendali Felda, E. Elavarasan.
‘‘Kemenangan itu memang satu kejutan kerana Selangor adalah sebuah pasukan yang kuat dan tiga mata ini saya anggap cukup berharga setelah pemain berjuang bermati-matian di atas padang.
‘‘Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang berdisiplin terutama pada separuh masa kedua kerana dapat mengekang habis-habisan serangan dilakukan Selangor yang berusaha memburu gol penyamaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Di Stadium Perak, skuad Seladang menumpaskan juara Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan 2-1 dengan dua jaringan daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-39 dan 50.
Walaupun Jean-Emmanuel Effa Owona meletakkan skuad Rusa itu di hadapan seawal minit kelima melalui situasi sepakan percuma, Akmal yang menggantikan Mohd. Failee Mohd. Ghazli pada minit ke-35 memusnahkan harapan Negeri Sembilan bagi sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Pendahulu liga, T-Team masih berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu walaupun sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Di Stadium Muhammad ke-IV, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meranapkan impian Johor FC untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila jaringan pada minit ke-72 memberikan kemenangan 2-1 kepada Kelantan.
Indra Putra Mahayuddin terlebih dahulu meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-55 sebelum disamakan oleh Mohd. Khairul Ismail pada minit ke-63.
PKNS dan Kedah pula terus kempunan dalam mencari kemenangan pertama musim ini apabila kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam aksi penuh hambar di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Jaringan tunggal pemain import yang baru didaftarkan Terengganu, Francis Forkey Doe pada minit ke-37 sudah cukup memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga hasil kemenangan ke atas Sarawak di Stadium Negeri.
Berpunca daripada hantaran lintang Ashari Samsudin, Francis mudah melepasi kawalan pertahanan Sarawak sebelum melakukan rembatan kencang di hadapan pintu gol.
Lions XII pula memperoleh kemenangan pertama apabila membenam Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Jalan Besar hasil jaringan sendiri Aiman Syazwan Abdullah pada minit ke-41 dan Shahdan Sulaiman, minit ke-57 sebelum Fazuan Abdullah merapatkan jurang buat Kuala Lumpur pada minit ke-68 melalui sepakan penalti.
Sumber : malaysialeague